25 peserta terpilih ke peringkat akhir Musabaqah Menghafaz Al-Quran




Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Hal Ehwal Ugama





BERAKAS, Jumaat, 16 Januari. - Seramai 25 orang peserta daripada 75 orang peserta yang bertanding iaitu lima orang peserta dari setiap kategori telah terpilih memasuki Musabaqah Menghafaz Al-Quran Berserta Pemahamannya Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1447 Hijrah yang akan diadakan nanti.


Perkara tersebut telah diumumkan oleh Pengerusi Jemaah Hakim Musabaqah, Awang Mohammad Ali Sabri bin Haji Yusof dari Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) pada Majlis Pengumuman Keputusan Musabaqah Menghafaz Al-Quran Berserta Pemahamannya Peringkat Separuh Akhir Kebangsaan Tahun 1447H yang diadakan kelmarin, bertempat di Dewan Muzakarah, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.


Musabaqah Menghafaz Al-Quran Berserta Pemahamannya Peringkat Separuh Akhir Kebangsaan Tahun 1447H telah berlangsung selama tiga hari berturut-turut bermula pada Isnin, 12 Januari hingga Rabu, 14 Januari 2026 Masihi bertempat di Bilik Mesyuarat Pusat Pengajian dan Penyebaran Al-Quran MABIMS Blok 2H, Tingkat 7, Kondominium Ong Sum Ping, Jalan Ong Sum Ping, Bandar Seri Begawan.


Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan diikuti dengan ucapan alu-aluan oleh Pengarah Pusat Pengajian dan Penyebaran Al-Quran MABIMS, KHEU, Pengiran Dr. Haji Amiruddin bin Pengiran Haji Damit, selaku Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana Musabaqah Menghafaz Al-Quran Berserta Pemahamannya Peringkat Separuh Akhir Kebangsaan Tahun 1447H.


Acara diteruskan dengan Pengumuman Keputusan Musabaqah Menghafaz Al-Quran Berserta Pemahamannya Peringkat Separuh Akhir Kebangsaan Tahun 1447H oleh Pengerusi Jemaah Hakim.


Diikuti dengan penyampaian cenderamata dan sijil kepada para peserta Musabaqah dan hakim-hakim Musabaqah oleh tetamu kehormat majlis, Setiausaha Tetap KHEU, Awang Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim.


Antara objektif musabaqah ini diadakan ialah untuk menggalakkan umat Islam di negara ini agar berjinak jinak mencintai Al-Quran melalui hafazan dan menjadikannya sebagai amalan harian.


Ia juga bertujuan untuk menambahkan lagi bilangan para huffaz di negara ini, di samping memperoleh pahala dan ganjaran dari Allah Subhanahu Wata'ala.


Musabaqah ini juga diharap dapat mendorong serta membantu para peserta dan orang ramai untuk memahami maksud yang terkandung dalam Al-Quran antaranya, fakta-fakta surah, nasihat, pengajaran dan hukum-hukum tajwid.

Close